SEJARAH KABINET PERTAMA SARAWAK 22 JULAI 1963

SEJARAH KABINET PERTAMA SARAWAK 22 JULAI 1963.

SEJARAH KABINET PERTAMA SARAWAK 22 JULAI 1963

Pada 27hb Mei 1961, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mencadangkan satu gagasan yang bergelar Gagasan Malaysia yang akan dianggotai oleh 5 buah negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Negara Brunei. Gagasan ini diwujudkan bagi mengimbangi jumlah penduduk serta bagi memberikan keseimbangan geo politik di kawasan yang dicadangkan. Ketika cadangan ini diutarakan ianya telah disambut dengan baik oleh Perdana Menteri British pada waktu itu iaitu Sir Harold Macmillan. Walau bagaimanapun hanya Negara Brunei yang tidak berminat dengan gagasan ini dan mereka telah awal-awal lagi menolak cadangan tersebut.

Dan bertindak daripada cadangan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ini telah ditubuhkan satu komitee yang dinamakan Malaysia Solidarity Consultative Committee (MSCC). MSCC ini telah bermesyuarat buat pertama kalinya di Singapura 2 bulan selepas ditubuhkan. Bagi memberikan keadilan pada semua sekitar 12 Ogos 1962, beberapa orang pemimpin daripada Sarawak dan North Borneo telah melawat bumi Persekutuan Tanah Melayu di Kuala Lumpur buat pertama kalinya agar pemimpin ini boleh memberikan perbandingan apa yang ada di Kuala Lumpur selepas mereka merdeka pada 31 Ogos 1957. Bertitik tolak daripada lawatan “eye-opener” ini ianya telah memberikan impak yang positif di dalam merealisasikan apa yang digelar Gagasan Malaysia sekarang.
\
Walaupun secara dasarnya cadangan gagasan ini telah dipersetujui namun bagi memberikan keadilan kepada semua satu pungutan suara telah sekali lagi diadakan di bumi Sarawak dan Sabah. Dan disinilah terbitnya Suruhanjaya Cobbold yang dipengerusikan oleh Lord Cameron Cobbold. Suruhanjaya Cobbold telah mengunjungi bumi Sarawak dan mendapatkan maklumbalas daripada penduduk-penduduk di bumi Sarawak. Setelah segalanya dipersetujui akhirnya laporan daripada Suruhanjaya Cobbold telah membenarkan bahawa rakyat Sarawak mahupun North Borneo telah bersedia untuk membentuk satu gagasan yang dipanggil Gagasan Malaysia pada ketika itu. Maka pada 9hb Julai 1963, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Malaysia 1963 telah ditandatangani di London., United Kingdom.

Walau bagaimanapun, sebelum apa jua perjanjian ditandatangani delegasi dari Sarawak telah memberikan kata dua bahawa Sarawak harus dimerdekakan sebelum pengistiharan Gagasan Malaysia dilakukan. Selain daripada itu Sarawak dan North Borneo juga telah menggariskan beberapa hal yang dipanggil Perkara 18 bagi Sarawak dan Perkara 20 bagi Sabah dan intipati perkara-perkara ini dimasukkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Intipati Perkara 18/20 ini dilakukan bagi melindungi hak dan autonomi rakyat Sarawak dan Sabah selepas pembentukan Gagasan Malaysia kelak.

Bagi memberikan apa yang digelar amalan demokrasi kepada rakyat Sarawak, dengan pemerhatian penuh daripada Kerajaan Koloni British pada tahun 1962, telah diadakan satu pilihanraya di Sarawak pada waktu itu. Beberapa buah parti politik telah bertanding di dalam pilihanraya tersebut seperti SNAP, SUPP dan PESAKA. Di dalam pilihanraya ini parti SNAP telah menang majoriti yang besar dan SNAP diketika itu diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan. Pada tanggal 22hb Julai 1963, pihak Koloni British telah merealisasikan apa yang diminta oleh rakyat Sarawak pada waktu itu maka Gabenor British di Sarawak iaitu Sir Alexander Waddel telah mewakili kerajaan Koloni British untuk menurunkan bendera British di bumi Sarawak dan bersama-sama menyaksikan bendera Sarawak sendiri dinaikkan di Kuching Sarawak.

Pada ketika itu dengan mandate daripada Kerajaan Koloni British Borneo pada masa itu maka lahirlah kabinet Negara Sarawak yang pertama yang mana Ketua Menterinya yang pertama telah dipilih pada 21hb Julai 1963 iaitu Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan. Selain daripada itu barisan kabinet pertama juga dipilih bukan dari sembarangan individu kerana mereka juga mempunyai portfolio yang sememangnya dikenali oleh rakyat Sarawak pada masa itu.

Dan anggota kabinet Negara Sarawak yang pertama juga dianggotai oleh Abdul Taib bin Mahmud - seorang pengamal undang-undang; James Wong Kim Ming - seorang kaunselor Limbang dan juga ahli perniagaan; Dustan Endawie Anak Enchana - seorang kaunselor di Kalaka; Awang Hipni bin Pengiran Anu - seorang kaunselor di Matu dan Teo Kui Seng - seorang ahli perniagaan terkenal di dalam industri perkapalan di Sarawak pada ketika itu. Perlantikan kabinet pertama Negara Sarawak ini merupakan satu detik sejarah bagi Sarawak kerana ini menandakan berakhirnya era Sarawak menjadi salah satu jajahan Koloni British dan ke arah Sarawak berkerajaan sendiri pada waktu itu.

Setelah tertubuhnya satu Kabinet yang mewakili sebuah negara yang baru merdeka pada waktu itu, Kabinet ini dengan diketuai oleh Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan telah membuat usulan di Supreme Council Sarawak tentang pengistiharan sebuah Gagasan yang bergelar Gagasan Malaysia yang mana ianya dibentuk oleh 4 buah negara iaitu Negara Persekutuan Tanah Melayu, Negara North Borneo, Negara Sarawak dan Negara Singapura. Usulan ini telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada ahli Supreme Council Sarawak dan 54 hari selepas itu Stephen Kalong Ningkan bersama-sama dengan Gabenor Negeri Sarawak yang baru iaitu Tun Abang Haji Openg berserta dengan wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Khir Johari memasyhurkan pengisytiharan Pembentukan Malaysia di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 16 September 1963.

Walaupun sepatutnya pengistiharan Gagasan Malaysia harus dilakukan pada 31hb Ogos 1963 seperti di dalam perancangan namun bagi memberi ruang kepada masalah dokumentasi yang kelewatannya disebabkan oleh United Nation serta memberi ruang kepada Gagasan Malaysia bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit seperti bantahan daripada jiran tetangga pada waktu itu seperti daripada Indonesia, Brunei dan Filipina maka ianya telah dilewatkan tarikhnya kepada 16hb September 1963.

Inilah sekelumit sejarah tentang mandat yang diberikan kepada Kabinet Pertama Sarawak Bumi Kenyalang yang merupakan antara barisan kabinet yang mempertaruhkan halatuju Sarawak pada masa itu bagi memastikan Sarawak mampu bersaing seperti sebuah negara merdeka di rantau Asia Tenggara. Sejarah ini harus wajar diterangkan dan difahami oleh generasi Bangsa Sarawak sekarang kerana inilah sejarah kita yang sebenarnya yang tidak boleh dilupuskan oleh mana-mana pihak walau apapun yang terjadi.

Kredit : FB MADE in Sarawak.
Previous
Next Post »

[PENAFIAN] : www.mreena.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.

Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
ConversionConversion EmoticonEmoticon