SEJARAH : PEMBEBASAN SARAWAK DARIPADA PENJAJAHAN KELUARGA BROOKE

SEJARAH : PEMBEBASAN SARAWAK DARIPADA PENJAJAHAN KELUARGA BROOKE

SEJARAH : PEMBEBASAN SARAWAK DARIPADA PENJAJAHAN KELUARGA BROOKE

Usianya bakal mencapai 52 tahun, apabila Sarawak dan Sabah bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963. Bagi Sarawak, peristiwa ini sangat penting dalam sejarahnya kerana telah berjaya melepas diri daripada penjajahan keluarga Brooke dan kolonial British selama 113 tahun. Maka, bermulalah era baru Sarawak dalam Persekutuan Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris pada 22 Julai 1963.

Pemilikan berkerajaan sendiri menguasai dalam diri penduduk Sarawak selepas menyaksikan pertembungan kuasa penjajah Barat dengan penduduk tempatan di negara lain dalam menuntut kemerdekaan seperti di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina. Munculnya gerakan nasionalisme ini secara langsung telah meningkatkan peranan setiap penduduk tempatan terhadap penjajah.

Keengganan penduduk tempatan menerima kehadiran pemerintah kerajaan kolonial British dalam mentadbir Sarawak telah mengundang semangat nasionalisme secara terang-terangan. Gerakan anti-penyerahan telah bangkit menyelubungi majoriti penduduk Sarawak dengan kemuncaknya peristiwa serangan berani mati, Rosli Dhobi pada tahun 1949 yang mengakibatkan kematian Gabenor Sir Duncan Stewart. Pada ketika juga ancaman komunis turut menghantui penduduk Sarawak.

Semangat mahu berkerajaan sendiri di kalangan penduduk Sarawak terutama beberapa pemimpin Melayu Sarawak yang disegani semakin menebal apabila campur tangan Anthony Brooke dalam membebaskan Sarawak. Namun, usaha ini menemui jalan buntu akibat keengganan Charles Vyner Brooke yang sudah berusia dan tidak mempunyai waris serta tidak mahu menyerahkan kuasanya kepada Anthony Brooke.

Pada 16 Februari 1946, Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada Kerajaan British. Manakala pada 1 Julai 1946, Sarawak secara rasmi telah diserahkan kepada Kerajaan British dan diisytiharkan sebagai hari ‘cession day’ sebagai tanda Kerajaan British telah menerima penyerahan Sarawak secara rasmi.

Pada ‘cession day’ itu telah diadakan di Kuching dengan upacara perbarisan di Pengkalan Batu (Kuching Waterfront) di hadapan Bangunan Mahkamah Besar bagi menyambut kedatangan Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Khas British yang diiringi Lord Louis Mountbatten. Pada hari itu turunlah bendera Sarawak ‘kuning, hitam dan merah’ yang telah berkibar selama 100 tahun dan digantikan dengan bendera Union Jack.

Malcom Mcdonald telah membaca perutusan daripada Raja Charles Vyner Brooke dengan memaklumkan pelantikan C.W.Dawson sebagai Ketua Setiausaha Kerajaan dan Sir Charles Arden-Clarke diisytiharkan sebagai Gabenor yang pertama. Sarawak akhirnya diisytiharkan sebagai ‘crown colony’ (Jajahan British) pada 1 Julai 1946.

Anti-penyerahan Sarawak telah melahirkan beberapa pemimpin tempatan dan persatuan yang berkobar-kobar menentang penjajahan kolonial British. Pemimpin tempatan yang terkenal dengan anti-penyerahan terdiri daripada YB Datuk Amar Abang Sulaiman bin Abang Taha Shahdan, Abang Haji Zainie bin Datuk Bentara Haji Hashim, Haji Abdul Rahman bin Haji Kassim dan ramai lagi. Mulai tahun 1946 dianggarkan terdapat 52 buah pertubuhan anti-penyerahan muncul bagi menyatakan sokongan mereka ke atas penentangan penyerahan Sarawak kepada Kerajaan Kolonial British.

Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) yang dinaungi Datu Patinggi Abang Hj. Abdillah merupakan pelopor kepada beberapa pertubuhan lain yang begitu lantang menentang penyerahan Sarawak kepada Kerajaan British. Pertubuhan seperti Parti Dayak Sarawak, Barisan Pemuda Sarawak (BPS), Barisan Pemuda Malaya (BPM), Kaum Ibu Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Persekutuan Bumiputera Sarawak, Persatuan Melayu Miri, Angkatan Semangat Anak Negeri Sarawak (ASAS), Persatuan Melayu Limbang dan Perhimpunan Kebajikan Baram juga turut serta dalam anti-penyerahan.

Sepanjang tempoh anti-penyerahan, beberapa demonstrasi dan perarakan secara besar-besaran diadakan di Kuching bagi menentang penyerahan Sarawak kepada Kerajaan British. Gerakan anti-cession semakin hebat dengan penglibatan kakitangan kerajaan yang sama-sama meniup semangat anti-penyerahan. Akibat penyertaan kakitangan awam, Kerajaan British telah mengeluarkan pekeliling rasmi dikenali sebagai "Circular No. 9" yang melarang kakitangan kerajaan terlibat dalam sebarang kegiatan yang menentang penyerahan (cession).

Pada 1 Julai 1947, sambutan ulang tahun pertama anti-cession telah diadakan hadapan bangunan Mahkamah Tinggi. Pada ketika itu, beribu orang telah berarak membawa sepanduk, poster dan bendera Sarawak menuju ke tugu peringatan Brooke di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi sambil berteriak “Kami Mahu Kemerdekaan”, “Kami Mahu Brooke”, “Hancur Penjajah British”, “No-Cession – Atlantic Charter Must Be Respected”, “Harap Selagi Bernafas” dan beberapa macam lagi dengan penuh bersemangat.

Di sebalik penentangan rakyat Sarawak itu ada juga pihak yang menyokong penyerahan Sarawak ke atas Kerajaan British. Persatuan Melayu Muda atau lebih dikenali Young Malay Associations (YMA) dan sekelompok masyarakat Cina bersetuju Sarawak ditadbir Kerajaan British. YMA ini telah mendapat sokongan daripada Kerajaan British bagi mengimbangi mereka yang anti-penyerahan.

Peristiwa penyerahan Sarawak kepada Kerajaan British secara langsung telah meniupkan semangat nasionalisme ke atas rakyat tempatan Sarawak. Biarpun mengambil masa selama 17 tahun sebelum merdeka daripada penjajah British, rakyat tempatan Sarawak tetap bersemangat mahu berkerajaan sendiri demi kelangsungan kehidupan anak dan cucu cicit mereka yang lebih baik di masa akan datang.

Kredit : Awang Mohamad Razif bin Awang Yusuf, UKOM JASA Sarawak
Previous
Next Post »

[PENAFIAN] : www.mreena.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.

Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
ConversionConversion EmoticonEmoticon